Wednesday, January 16, 2008

Gurindam

Kurang fikir kurang siasat,
Tentu dirimu kelak tersesat.

Dunia ini taman pergaulan,
Harus dipilih sahabat kenalan.

Jangan gemar membuat dusta,
Kelak dirimu mendapat nesta.

Jika ilmu tiada sempurna,
Tiada berapa ia berguna.

Jika kena penyakit kikir,
Sanak saudara lari menyingkir.

Jika kita bersifat dermawan,
Sekalian orang dapat ditawan

Barang siapa mungkir janji,
Namanya tentu menjadi keji.

Barang siapa berbuat khianat,
Tuhan kelak memberi laknat.

Barang siapa berbuat fitnah,
Ibarat dirinya menentang panah.

Barang siapa berbuat jasa,
Mulia namanya sepanjang masa.


Dipetik dari buku Bacaan Dewan

Sunday, January 13, 2008

Pantun

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Kami budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Dalam semak ada duri,
Ayam kuning buat sarang,
Orang tamak selalu rugi,
Bagai anjing dengan bayang.

Anak beruk di tepi pantai,
Masuk ke bendang makan padi,
Biar buruk kain di pakai,
Asal jangan kekurangan budi.

Pulau Rupat nampak berbalam,
Sampan kotak muatan sarat,
Kalau dekat berkirim salam,
Kalau jauh berkirim surat.

Buah berangan dalam kota,
Direndang orang petang hari,
Jangan tuan kata mengata,
Takut menimpa hidung sendiri.

Kain batik beragi-ragi,
Kain basah atas keranjang,
Kalau hendak ilmu yang tinggi,
Carilah galah yang cukup panjang.


Dipetik dari buku Bacaan Dewan

Saturday, January 12, 2008

Teka-Teki Lapuk

1.Benda apa kalau bergerak sedikit manusia lari lintang-pukang ???

2.''Setahun'' dia ada,

''Sebulan'' dia ada,

''Sehari'' dia ada,

''Sejam'' dia ada,

''Seminit'' dia tiada,

''Sesaat'' dia ada, apa dia tu ???

3.Gajah terbang dengan apa ?

4.Apa yang jauh di mata dekat di hati ?

5.Siapa yang menemukan dompet kulit?

6.Binatang apa seluruh anggota badannya kat kepala?

7.Apa persamaan Michael Jordan ngan Michael Jackson?

8.Tukang apa yang kalau dipanggil, dia menjenguk ke atas?

9.Kenapa pokok kelapa di depan rumah harus ditebang?

>

>

>

>

>

>

>

>

>

>

>

>

>

Jawapannya:

1.Mayat

2.Huruf"A"

3.Susah Payah (tak dapat terbang pon)

4.Jantung

5.Yang menemukan dompet kulit sila pulangkan kepada saya.

6.Kutu rambut

7.Dua-dua tak kenal korang

8.Tukang gali kubur

9.Mestilah ditebang, siapa nak cabut pokok kelapa.......gila apa..

Askar Melayu Diraja


Kalau kita menyaksikan perayaan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan tanah air, maka salah satu daripada acaranya ialah perbarisan pasukan tentera, pasukan polis dan juga murid-murid sekolah. Tentulah kita tertarik hati melihat bagaimana gagah dan segaknya prajurit-prajurit itu berbaris di tengah padang dan berjalan di jalan raya dengan pakaian yang bersih dan kemas. Mungkin juga timbul keinginan dalam hati kita untuk masuk menjadi tentera apabila besar kelak.

Tiap-tiap negeri dalam dunia ini, sama ada negeri itu besar atau kecil, mestilah mempunyai pasukan tentera sendiri. Didalam negara Malaysia boleh didapati banyak pasukan tentera yang gagah. Satu daripadanya ialah Askar Melayu Diraja yang telah banyak membuat sejarah gemilang untuk negara kita ini.

Didalam bacaan ini kita akan mengetahui serba sedikit sejarah dan perjuangan angkatan Askar Melayu Diraja itu. Sungguhpun cadangan hendak menubuhkan angkatan tentera yang ahli-ahlinya terdiri daripada anak negeri telah timbul dalam tahun 1913 tetapi kira-kira dua puluh tahun kemudian, iaitu 1 haribulan Mac tahun 1933, barulah pasukan tersebut ditubuhkan dan diberi nama Askar Melayu.

Siapakan orangnya yang mula-mula sekali membuat cadangan supaya Tanah Melayu mempunyai angkatan tentera sendiri ?.Beliau ialah al-Marhum Sultan Iskandar Shah, sultan yang memerintah negeri Perak pada masa itu. Beliau membawa cadangan itu ke dalam Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu bagi Negeri-negeri Yang Bersekutu, yang bersidang di Kuala Lumpur dalam tahun 1920. Cadangannya itu disokong oleh al-Marhum Tengku Raja Sir Chulan, Raja Di-Hilir Perak, al-Marhum Tengku Muhammad ibni al-Marhum Yamtuan Antah, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan al-Marhum Dato’ Abdullah bin Haji Dahan, Dato’ Undang Rembau.

Sebagai percubaan, seramai 25 orang pemuda orang pemuda telah dipilih daripada lebih seribu peminta yang datang daripada seluruh Negeri-negeri Melayu Yang Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang untuk mengambil latihan di Port Dickson. Selama dalam latihan mereka diajar berbaris, cara menggunakan senjata dan juga cara berperang. Latihan yang mereka terima itu sangatlah susah dan berat. Dengan hal yang demikian mereka akan menjadi askar yang gagah berani.

Beberapa bulan kemudian bilangan 25 orang itu telah bertambah lagi. Daripada beribu-ribu orang yang membuat permintaan, seramai 30 orang telah diambil. Begitulah beberapa kali jumlahnya bertambah-tambah hingga dalam bulan Jun 1934 telah menjadi 150 orang semuanya. Usaha mengambil orang-orang baru itu dilakukan dengan kerjasama pegawai-pegawai daerah dalam tiap-tiap negeri.

Pasukan Askar Melayu itu terdiri daripada orang-orang Melayu sahaja. Hanya pegawai-pegawai tingginya sahaja yang terdiri daripada orang Inggeris. Oleh sebab pasukan Askar Melayu ini telah memberikan khidmatnya yang cemerlang dan terpuji, maka pada hari ulang tahunnya yang ke-25 iaitu 1 haribulan Mac 1958, Duli Yang Maha Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah menganugerahkan gelaran Diraja kepada angkatan tentera ini. Maka semenjak daripada itu pasukan ini pun terkenallah dengan nama Askar Melayu Diraja. Pegawai-pegawai tingginya daripada orang Inggeris itu beransur-ansur digantikan oleh pegawai-pegawai tinggi bangsa Melayu sendiri. Pada masa ini Askar Melayu Diraja telah mempunyai pegawai-pegawai Melayu yang berpangkat jenderal. Pegawai Pemerentah Agongnya pun seorang jenderal Melayu juga.

Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut lagi, mestilah kita mengingat sejarah kehandalan dan kepahlawanan Askar Melayu dalam Peperangan Dunia Kedua yang lalu. Tetapi sebelum itu kita mesti tahu bahawa cogan kata Askar Melayu ialah “Taat dan Setia”. Cogan kata ini menunjukkan bagaimana taat dan setianya prajurit-prajurit kita berkhidmat untuk nusa dan bangsanya.

Sambungan Askar Melayu Diraja


Apabila berlaku Peperangan Dunia Kedua iaitu Jepun menyerang Tanah Melayu dalam bulan Disember 1941, maka kekuatan askar melayu telah dibesarkan menjadi dua batalion dan dilengkapkan dengan alat-alat senjata yang sangat sederhana. Sungguhpun demkian mereka telah berjuang bermati-matian, menyerahkan seluruh jiwa dan raga untuk mempertahankan kedaulatan nusa dan bangsanya daripada diceroboh musuh. Disinilah kita melihat bukti kepahlawanan prajurit-prajurit kita. Mereka berperang pada pepatah: “Biar putih tulang, jangan putih mata.”

Ketika Jepun memulakan serangannya, Batalion Pertama sedang menjalankan tugasnya di Singapura dan Batalion Kedua di Kelantan. Oleh sebab kelengkapannya belum cukup sempurna dan lebih-lebih lagi kerana serangan tentera Jepun sangat kuat, maka terpaksalah Batalion Kedua berundur ke Singapura juga. Dalam masa pengunduran itu mereka dihujani dengan bom dari kapal terbang Jepun. Banyaklah kemalangan yang mereka terima.

Sampai di Singapura, Batalion Kedua telah bersatu dengan Batalion Bertama. Bersama-sama dengan tentera-tentera Inggeris, Australia dan Gurkha, perwira-perwira kita ini bersungguh-sungguh cuba mempertahankan Singapura. Mereka tahu yang mereka tidak mempunyai negeri yang lain daripada Tanah Melayu, sebab itulah mereka tidak ragu-ragu lagi sanggup bermandi darah mempertahankannya.

Sungguhpun mereka baru pertama kali masuk ke medan peperangan, tetapi mereka tidak sedikit pun berasa cemas atau gentar. Mereka telah melawan dengan tenang dan degil hingga tidak menghiraukan keselamatan diri lagi.

Tersebut satu cerita yang mengharukan dan membangkitkan semangat kita iaitu perjuangan seorang prajurit muda namanya Leftenan Muda Adnan bin Saidi. Bersama dengan pasukannya, Leftenan Muda Adnan berkawal di atas sebuah
bukit. Askar-askar Jepun cuba untuk mendaki bukit itu telah menyamar diri sebagai Gurkha, tetapi Leftenan Muda Adnan dan kawan-kawannya tahu akan tipu daya itu.





(Lt. Adnan )


Pasukan askar Jepun itu dibiarkan nya datang dekat dahulu kemudian barulah mereka menembak bertubi-tubi hingga tidak berdaya lagi askar jepun itu hendak mara. Siapa yang bernasib baik tidak disambar peluru terpaksa lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri masing-masing. Pasukan Leftenan Muda Adnan telah mencapai kejayaan yang gilang-gemilang.

Tetapi beberapa jam kemudian sepasukan askar jepun yang lebih ramai telah datang untuk membalas kekalahan mereka tadi. Pasukan askar melayu yang lebih kecil bilangannya itu telah menentang hingga kehabisan peluru lalu menjadi korban benet jepun. Leftenan Muda Adnan sendiri mendapat luka parah dalam serangan itu. Apabila dilihatnya ramai kawan-kawannya telah terkorban, maka kemarahannya makin menyala-menyala. Lupalah dia kecederaan yang sedang ditanggungnya.

Dengan senapang jentera yang masih terpegang di tangannya, Leftenan Muda Adnan terus melawan, menembak dan membunuh beberapa banyak musuh lagi hingga akhirnya dia sendiri gugur sebagai bunga bangsa. Oleh sebab terlalu marah, tentera Jepun telah menggantung mayat Leftenan Muda Adnan pada sebatang pokok getah, kepalanya ke bawah kakinya ke atas. Setiap askar Jepun yang lalu di situ menikam mayat yang tidak boleh melawan itu dengan banet masing-masing hingga hancur tidak serupa manusia lagi.

Apabila Singapura jatuh ke tangan Jepun, ramailah pegawai dan anggota Askar Melayu yang masih hidup telah ditahan. Sebahagian daripada mereka itu telah dibunuh oleh Jepun dan sebahagiannya pula telah dihantar ke Siam untuk membuat jalan Keretapi Maut di sana. Hanya sedikit benar bilangannya yang berjaya melepaskan diri dan ada diantara mereka itu telah menubuhkan pasukan menentang Jepun secara sulit.

Selepas Peperangan Dunia Kedua, pasukan Askar Melayu telah disusun semula. Anggota-anggota yang tidak menjadi korban perang telah dipanggil berkhidmat semula dan pada tahun 1949 ramai orang-orang baru diambil berlatih untuk penubuhan Batalion Ketiga. Begitulah halnya dari masa ke semasa kekuatan Askar Melayu Diraja bertambah dan pada tahun 1959 Batalion Kelapan ditubuhkan. Tiap-tiap satu batalion terdiri kira-kira lapan ratus orang ramainya. Dalam tahun 1948 berlakulah darurat di Tanah Melayu dari perbuatan pengganas-pengganas. Disana sini terjadi bakar membakar dan bunuh membunuh. Banyaklah harta benda yang binasa dan ramailah orang yang menjadi korban dari keganasan itu. Seluruh rakyat negeri ini hidup dalam ketakutan sahaja.


Untuk menghapuskan keganasan tersebut,sekalu Askar Melayu Diraja memikul tugas yang berat. Selama dua belas tahun mereka memburu pengganas-pengganas di dalam hutan rimba Tanah Melayu. Akhirnya perjuangan mereka itu mencapai kejayaan yang cemerlang iaitu tamatnya kekacauan itu pada 31 haribulan Julai 1960 dan kita hidup dalam suasana aman sentosa semula. Sungguhpun kekacauan tidak lagi berlaku di tanah air kita, bukanlah bererti tamatnya kewajipan dan tugas angkata tentera kita. Kewajipan dan tugas mereka sentiasa ada selama-selamanya. Kalau tidak bertugas di dalam negeri, mereka di hantar berkhidmat di luar negeri. Bersama-sama dengan pasukan askar dari negeri-negeri lain, pasukan Askar Melayu Diraja kita telah berjaya mencegah perang saudara itu merebak hingga menjadi perang dunia.

DARI BUKU BACAAN DEWAN

Friday, January 11, 2008

Perubahan Yang Membawa Kejayaan


“Makcik Leha mana kasut Siti?”tanya Siti Zuriah kepada pembantu rumahnya.” “Saya tidak tahu cik”balas pembatu rumah Siti dengan lembut. Leha nama panjangnya Zaleha pembantu rumah Puan Asyikin dan Encik Amran iaitu ibu dan ayah kepada Siti Zuriah. Makcik Leha berasal dari Indonesia telah berkerja dengan Puan Asyikin dan Encik Amran selama 9 tahun. Siti Zuriah pula berumur 11 tahun. Di sekolah, dia ditempatkan di kelas yang terakhir kerana dia seorang yang pemalas. Tiba-tiba Puan Asyikin keluar dari dapur dan berjalan menuju ke arah Siti sambil berkata “semalamkan Siti letak kasut Siti di pintu dapur kemudian bergegas pergi minum air sebab terlalu haus.” Siti Zuriah teringat akan kejadian semalam dia terlupa membawa air ke sekolah dan pada waktu balik dia segera ke dapur mengikut pintu belakang untuk mendapatkan air daripada ibunya. Dia pun secepat kilat berlari menuju ke dapur untuk mendapatkan kasut sekolahnya kerana takut didenda kerana terlambat ke sekolah. Setelah siap, Pak Mat menghantar Siti kesekolah dengan menaiki kereta mewah yang cantik warnanya maklumlah Siti anak orang kaya. Setibanya di sekolah Siti berjumpa kawan rapatnya Nur Hanis untuk meniru kerja rumah yang diberi oleh cikgunya. Hanis seorang budak yang nakal sama seperti Siti tetapi Hanis lebih pandai dari Siti. Selesai meniru Siti dan Hanis bersama kawan-kawan mereka yang lain bermain di dalam kelas. Tiba-tiba loceng berbunyi menandakan waktu pelajaran akan bermula. Mereka tidak menghiraukan bunyi lonceng tersebut. Tidak terdetik langsung dihati mereka untuk segera beratur. Cikgu Mariam selaku guru besar disekolah itu nampak kelakuan mereka dia segera menuju kearah mereka. Cikgu Mariam memanggil kesemua mereka dan dia merotan telapak tangan mereka sebanyak tiga kali. Murid-murid di sekolah itu kebanyakannya takut dengan Cikgu Mariam kerana Cikgu Mariam terkenal seorang yang garang termasuklah Siti Zuriah.

Matapelajaran matamatik akan dimulakan ia adalah matapelajaran yang paling dibenci oleh sesetengah murid kelas 5 Angerik iaitu kelas yang diduduki oleh Siti Zuriah. Hari ini Cikgu Maimunah guru matapelajaran matamatik tidak hadir ke sekolah kerana sakit dan akan diganti oleh Encik Mahmud yang dikenali sebagai guru yang garang dan tegas. Siti Zuriah paling gerun apabila belajar dengan Encik Mahmud. Hari ini juga akan diadakan ujian bulanan bagi bulan Januari. Siti Zuriah langsung tidak mengendahkan ujian itu dia merasakan ujian itu tidak penting buat dirinya. Pada ujian bulanan sebelum ini, Siti memang gemar menggangu rakannya tetapi pada hari ini dia tidak mengganggu rakannya kerana Encik Mahmud selalu memerhatikannya. Waktu ujian bagi matapelajaran matamatik hampir tamat tetapi Siti masih belum menyelesaikan kertas ujian itu dia cuma menconteng kertas ujian itu dan melukis gambar kartun. Setelah ujian tamat Encik Mahmud pun mengutip kertas ujian dari murid-murid kelas itu. Setelah habis mengutip kertas ujian, dia pun keluar dari kelas, sebelum itu ketua kelas telah mengucapkan terima kasih dan diikuti seramai 34 orang murid.

Matapelajaran seterusnya akan bermula. Ayuni adalah seorang murid yang pendiam di dalam kelas itu, dia selalu diganggu oleh beberapa orang murid termasuk Siti. Setelah loceng berbunyi menandakan waktu rehat bermula, Ayuni akan ke kantin bersama teman baiknya iaitu Tasya dan Masliyana yang juga baik tingkah lakunya. Mereka dimasukkan ke kelas itu kerana gagal dalam matapelajaran Sain dan Bahasa Ingeris pada tahun lepas. Masliyana dan Tasya juga sering diganggu oleh Siti dan kawannya.

Pada waktu balik, Siti akan dijemput oleh Pak Mat. Setelah sampai di hadapan pintu, Makcik Leha terus mengangkat beg sekolah Siti. Pada waktu itu ibu dan ayah Siti belum pulang pada setiap hari, ibunya akan pulang pada pukul 5.30 petang dan bapanya pula pada pukul 9.00 malam. Ibu dan ayah Siti selalu memanjakannya kerana Siti adalah anak tunggalnya. Setelah pulang dari sekolah, dia terus mengganti baju dan menonton television. Itulah tabiat buruk Siti, dia tidak pernah mengulang kaji pelajaran. Dia juga langsung tidak memikirkan peperiksaan UPSR pada tahun hadapan. Dia juga selalu bermain tanpa menghiraukan masa yang ditetapkan oleh ibunya untuk belajar. Puan Asyikin selalu juga menasihatkan Siti agar rajin belajar supaya dia akan menjadi lebih cerdik. Tetapi nasihat itu bagaikan mencurah air ke daun keladi, Siti langsung tidak menghiraukan nasihat itu malah makin bertambah malas perangainya. Puan Asyikin dan Encik Amran juga sudah pening dibuatnya.Setelah satu minggu berlalu, Cikgu Maimunah akan memberikan kertas ujian Matamatik yang diadakan pada minggu lepas pada hari ini. Dengan markah tertinggi iaitu 80 diperolehi oleh Ayuni, 77 seri oleh Masliyana dan Tasya dan seterusnya hinggalah yang terakhir 0 diperolehi oleh Siti. Cikgu Maimunah dengan suara yang lembut menasihati Siti, “ Siti saya sudah lama memerhatikan kamu, kamu bagaikan tidak mahu belajar dalam semua matapelajaran. Bukan cikgu tidak tahu, ramai guru yang memberitahu cikgu perangai kamu. Cikgu bukan nak marahkan kamu, cuma nak beri nasihat sedikit yang kamu harus belajar bersungguh-sungguh kerana lagi 1 tahun sahaja kamu akan menghadapi UPSR. Ibubapa kamu bersusah payah membayar yuran sekolah kamu.” Setelah pulang kerumah, Siti memikirkan apa yang dicakapkan oleh Cikgu Maimunah tadi. Dia merasa menyesal kerana selalu bermain dan tidak menghiraukan pelajarannya. Dia mula menyemak buku teks Matematik dan Bahasa Malaysia. Sejak hari itu Siti tidak lagi bermain ketika cikgu sedang mengajar.Dia mula memberi tumpuan didalam kelas. Dia juga tidak lagi berkawan rapat dengan rakannya seperti Nur Hanis. Dia telah berubah hati dan mula berkawan dengan Tasha, Ayuni dan Masliyana. Hari berganti hari, prestasi Siti semakin meningkat. Cikgu Maimunah berasa kagum dengan Siti. Kini sudah setahun dia di kelas 5 Angerik. Dia akan dimasukkan ke dalam kelas 6 Mawar iaitu kelas kedua yang terpandai bersama kawan baiknya kerana markah kertas peperiksaannya memuaskan. Siti juga mula berminat untuk memasuki kelas tusyien. Prestasinya juga semakin meningkat dia mula mendapat A dalam pelajaran Matematik dan Bahasa Melayu dan B dalam pelajaran Sain dan Bahasa Inggeris. Kini cuma tinggal tiga bulan sahaja lagi sebelum UPSR dijalankan. Siti makin berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai 5A dalam UPSR. Hari berganti hari kini percubaan UPSR dijalankan Siti mendapat 4A1B. Dia merasa gembira kerana markah matapelajaran Sain semakin meningkat. Sewaktu UPSR dijalankan Siti menjawab dengan tenang dan bersungguh-sungguh. Dia yakin akan mendapat 5A. “Mak, Siti dapat 5A dalam UPSR!!!” kata Siti kepada ibunya dengan gembira setelah mendapat keputusan UPSR daripada gurunya. Ayuni dan Tasha turut memperoleh 5A dan Masliyana memperoleh 4A1B. Makcik Leha dan Pak Mat turut gembira di atas kejayaan Siti.