Saturday, January 12, 2008

Askar Melayu Diraja


Kalau kita menyaksikan perayaan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan tanah air, maka salah satu daripada acaranya ialah perbarisan pasukan tentera, pasukan polis dan juga murid-murid sekolah. Tentulah kita tertarik hati melihat bagaimana gagah dan segaknya prajurit-prajurit itu berbaris di tengah padang dan berjalan di jalan raya dengan pakaian yang bersih dan kemas. Mungkin juga timbul keinginan dalam hati kita untuk masuk menjadi tentera apabila besar kelak.

Tiap-tiap negeri dalam dunia ini, sama ada negeri itu besar atau kecil, mestilah mempunyai pasukan tentera sendiri. Didalam negara Malaysia boleh didapati banyak pasukan tentera yang gagah. Satu daripadanya ialah Askar Melayu Diraja yang telah banyak membuat sejarah gemilang untuk negara kita ini.

Didalam bacaan ini kita akan mengetahui serba sedikit sejarah dan perjuangan angkatan Askar Melayu Diraja itu. Sungguhpun cadangan hendak menubuhkan angkatan tentera yang ahli-ahlinya terdiri daripada anak negeri telah timbul dalam tahun 1913 tetapi kira-kira dua puluh tahun kemudian, iaitu 1 haribulan Mac tahun 1933, barulah pasukan tersebut ditubuhkan dan diberi nama Askar Melayu.

Siapakan orangnya yang mula-mula sekali membuat cadangan supaya Tanah Melayu mempunyai angkatan tentera sendiri ?.Beliau ialah al-Marhum Sultan Iskandar Shah, sultan yang memerintah negeri Perak pada masa itu. Beliau membawa cadangan itu ke dalam Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu bagi Negeri-negeri Yang Bersekutu, yang bersidang di Kuala Lumpur dalam tahun 1920. Cadangannya itu disokong oleh al-Marhum Tengku Raja Sir Chulan, Raja Di-Hilir Perak, al-Marhum Tengku Muhammad ibni al-Marhum Yamtuan Antah, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan al-Marhum Dato’ Abdullah bin Haji Dahan, Dato’ Undang Rembau.

Sebagai percubaan, seramai 25 orang pemuda orang pemuda telah dipilih daripada lebih seribu peminta yang datang daripada seluruh Negeri-negeri Melayu Yang Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang untuk mengambil latihan di Port Dickson. Selama dalam latihan mereka diajar berbaris, cara menggunakan senjata dan juga cara berperang. Latihan yang mereka terima itu sangatlah susah dan berat. Dengan hal yang demikian mereka akan menjadi askar yang gagah berani.

Beberapa bulan kemudian bilangan 25 orang itu telah bertambah lagi. Daripada beribu-ribu orang yang membuat permintaan, seramai 30 orang telah diambil. Begitulah beberapa kali jumlahnya bertambah-tambah hingga dalam bulan Jun 1934 telah menjadi 150 orang semuanya. Usaha mengambil orang-orang baru itu dilakukan dengan kerjasama pegawai-pegawai daerah dalam tiap-tiap negeri.

Pasukan Askar Melayu itu terdiri daripada orang-orang Melayu sahaja. Hanya pegawai-pegawai tingginya sahaja yang terdiri daripada orang Inggeris. Oleh sebab pasukan Askar Melayu ini telah memberikan khidmatnya yang cemerlang dan terpuji, maka pada hari ulang tahunnya yang ke-25 iaitu 1 haribulan Mac 1958, Duli Yang Maha Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah menganugerahkan gelaran Diraja kepada angkatan tentera ini. Maka semenjak daripada itu pasukan ini pun terkenallah dengan nama Askar Melayu Diraja. Pegawai-pegawai tingginya daripada orang Inggeris itu beransur-ansur digantikan oleh pegawai-pegawai tinggi bangsa Melayu sendiri. Pada masa ini Askar Melayu Diraja telah mempunyai pegawai-pegawai Melayu yang berpangkat jenderal. Pegawai Pemerentah Agongnya pun seorang jenderal Melayu juga.

Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut lagi, mestilah kita mengingat sejarah kehandalan dan kepahlawanan Askar Melayu dalam Peperangan Dunia Kedua yang lalu. Tetapi sebelum itu kita mesti tahu bahawa cogan kata Askar Melayu ialah “Taat dan Setia”. Cogan kata ini menunjukkan bagaimana taat dan setianya prajurit-prajurit kita berkhidmat untuk nusa dan bangsanya.

No comments: