Saturday, January 12, 2008

Sambungan Askar Melayu Diraja


Apabila berlaku Peperangan Dunia Kedua iaitu Jepun menyerang Tanah Melayu dalam bulan Disember 1941, maka kekuatan askar melayu telah dibesarkan menjadi dua batalion dan dilengkapkan dengan alat-alat senjata yang sangat sederhana. Sungguhpun demkian mereka telah berjuang bermati-matian, menyerahkan seluruh jiwa dan raga untuk mempertahankan kedaulatan nusa dan bangsanya daripada diceroboh musuh. Disinilah kita melihat bukti kepahlawanan prajurit-prajurit kita. Mereka berperang pada pepatah: “Biar putih tulang, jangan putih mata.”

Ketika Jepun memulakan serangannya, Batalion Pertama sedang menjalankan tugasnya di Singapura dan Batalion Kedua di Kelantan. Oleh sebab kelengkapannya belum cukup sempurna dan lebih-lebih lagi kerana serangan tentera Jepun sangat kuat, maka terpaksalah Batalion Kedua berundur ke Singapura juga. Dalam masa pengunduran itu mereka dihujani dengan bom dari kapal terbang Jepun. Banyaklah kemalangan yang mereka terima.

Sampai di Singapura, Batalion Kedua telah bersatu dengan Batalion Bertama. Bersama-sama dengan tentera-tentera Inggeris, Australia dan Gurkha, perwira-perwira kita ini bersungguh-sungguh cuba mempertahankan Singapura. Mereka tahu yang mereka tidak mempunyai negeri yang lain daripada Tanah Melayu, sebab itulah mereka tidak ragu-ragu lagi sanggup bermandi darah mempertahankannya.

Sungguhpun mereka baru pertama kali masuk ke medan peperangan, tetapi mereka tidak sedikit pun berasa cemas atau gentar. Mereka telah melawan dengan tenang dan degil hingga tidak menghiraukan keselamatan diri lagi.

Tersebut satu cerita yang mengharukan dan membangkitkan semangat kita iaitu perjuangan seorang prajurit muda namanya Leftenan Muda Adnan bin Saidi. Bersama dengan pasukannya, Leftenan Muda Adnan berkawal di atas sebuah
bukit. Askar-askar Jepun cuba untuk mendaki bukit itu telah menyamar diri sebagai Gurkha, tetapi Leftenan Muda Adnan dan kawan-kawannya tahu akan tipu daya itu.





(Lt. Adnan )


Pasukan askar Jepun itu dibiarkan nya datang dekat dahulu kemudian barulah mereka menembak bertubi-tubi hingga tidak berdaya lagi askar jepun itu hendak mara. Siapa yang bernasib baik tidak disambar peluru terpaksa lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri masing-masing. Pasukan Leftenan Muda Adnan telah mencapai kejayaan yang gilang-gemilang.

Tetapi beberapa jam kemudian sepasukan askar jepun yang lebih ramai telah datang untuk membalas kekalahan mereka tadi. Pasukan askar melayu yang lebih kecil bilangannya itu telah menentang hingga kehabisan peluru lalu menjadi korban benet jepun. Leftenan Muda Adnan sendiri mendapat luka parah dalam serangan itu. Apabila dilihatnya ramai kawan-kawannya telah terkorban, maka kemarahannya makin menyala-menyala. Lupalah dia kecederaan yang sedang ditanggungnya.

Dengan senapang jentera yang masih terpegang di tangannya, Leftenan Muda Adnan terus melawan, menembak dan membunuh beberapa banyak musuh lagi hingga akhirnya dia sendiri gugur sebagai bunga bangsa. Oleh sebab terlalu marah, tentera Jepun telah menggantung mayat Leftenan Muda Adnan pada sebatang pokok getah, kepalanya ke bawah kakinya ke atas. Setiap askar Jepun yang lalu di situ menikam mayat yang tidak boleh melawan itu dengan banet masing-masing hingga hancur tidak serupa manusia lagi.

Apabila Singapura jatuh ke tangan Jepun, ramailah pegawai dan anggota Askar Melayu yang masih hidup telah ditahan. Sebahagian daripada mereka itu telah dibunuh oleh Jepun dan sebahagiannya pula telah dihantar ke Siam untuk membuat jalan Keretapi Maut di sana. Hanya sedikit benar bilangannya yang berjaya melepaskan diri dan ada diantara mereka itu telah menubuhkan pasukan menentang Jepun secara sulit.

Selepas Peperangan Dunia Kedua, pasukan Askar Melayu telah disusun semula. Anggota-anggota yang tidak menjadi korban perang telah dipanggil berkhidmat semula dan pada tahun 1949 ramai orang-orang baru diambil berlatih untuk penubuhan Batalion Ketiga. Begitulah halnya dari masa ke semasa kekuatan Askar Melayu Diraja bertambah dan pada tahun 1959 Batalion Kelapan ditubuhkan. Tiap-tiap satu batalion terdiri kira-kira lapan ratus orang ramainya. Dalam tahun 1948 berlakulah darurat di Tanah Melayu dari perbuatan pengganas-pengganas. Disana sini terjadi bakar membakar dan bunuh membunuh. Banyaklah harta benda yang binasa dan ramailah orang yang menjadi korban dari keganasan itu. Seluruh rakyat negeri ini hidup dalam ketakutan sahaja.


Untuk menghapuskan keganasan tersebut,sekalu Askar Melayu Diraja memikul tugas yang berat. Selama dua belas tahun mereka memburu pengganas-pengganas di dalam hutan rimba Tanah Melayu. Akhirnya perjuangan mereka itu mencapai kejayaan yang cemerlang iaitu tamatnya kekacauan itu pada 31 haribulan Julai 1960 dan kita hidup dalam suasana aman sentosa semula. Sungguhpun kekacauan tidak lagi berlaku di tanah air kita, bukanlah bererti tamatnya kewajipan dan tugas angkata tentera kita. Kewajipan dan tugas mereka sentiasa ada selama-selamanya. Kalau tidak bertugas di dalam negeri, mereka di hantar berkhidmat di luar negeri. Bersama-sama dengan pasukan askar dari negeri-negeri lain, pasukan Askar Melayu Diraja kita telah berjaya mencegah perang saudara itu merebak hingga menjadi perang dunia.

DARI BUKU BACAAN DEWAN

3 comments:

NUR AINA MAISARAH said...

Askar Jepun kejam.Tapi sekarang Jepun dah baik.Kita pun dah aman sekarang.Tapi Negara Arab yang dilanda masalah.Kesian mereka.Saya harap mereka akan jadi aman seperti kita.Amin

funny92 said...

ksiannya kt L.Adnan 2.. smoga rohnya dicucuri rahmat...amin

cindy armaya said...

Numpang ya min ^^

Bonus New Member 50%!!! Bukan server IDN maupun PokerV! Cobalah bermain di server baru 1G Poker hanya di kenaripoker.com! Proses deposit dan withdraw tidak basa basi langsung tinggal proses dan main saja bosku, dicoba keberuntungan kamu sekarang juga hanya di kenaripoker.com!

WHATSAPP : +855966139323
BBM : KENARI00
LIVE CHAT : KENARIPOKER.COM
ALTERNATIVE LINK : KENARIPOKER.COM