Thursday, June 5, 2008

BAWANG PUTIH BAWANG MERAH

Pada zaman dahulu ada sepasang suami isteri yang tinggal agak terpencil dari orang ramai. Si suami bernama Pak Ali dan Si Isteri bernama Mak Labu. Sungguhpun sudah lama mereka berumah tangga tetapi mereka masih belum mempunyai cahaya mata.


Pada suatu hari Pak Ali telah berterus terang dengan isterinya. “Labu, aku berhajat hendak b
eristeri seorang lagi kerana berkehendakkan anak, walaupun sudah lama engkau menjadi isteri aku tetapi engkau tidak dapat melahirkan anak.”

“Kalau bergitu niat abang, saya relalah abang berkahwin lain walaupun berat rasa hati ini,” beritahu Mak Labu terus terang.


“Terimakasih atas kerelaan engkau itu Labu. Aku akan bersifat sama adil bila aku beristerikan seorang lagi nanti,” janji pak Ali.


Akhirnya Pak Ali pun beristeri baru. Isteri barunya itu bernama Mak Kundur. Walaupun mereka bermadu tapi mereka tinggal serumah. Tepat seperti dijanjikan, Pak Ali melayan isteri-isterinya itu seadil-adilnya.


Setelah setahun berkahwin, dengan tidak disangka-sangka isteri tuanya yang disangka mandul itu mengandung empat bulan dan isteri mudanya mengandung tiga bulan.


“Syukur kepada Allah kerana tidak lama lagi aku akan mendapat dua orang anak sekaligus,” fikirnya dalam hati.


Apabila sampai masanya, kedua-dua orang isterinya itu pun melahirkan anak. Kedua-duanya anak perempuan belaka. Anak Mak Labu diberi nama Bawang Merah dan anak Mak Kundur bernama Bawang Putih. Nama-nama itu diambil sempena dengan tanaman Pak Ali yang sangat subur pada masa itu iaitu bawang merah dan bawang putih. Semenjak itu juga nama kedua-dua isterinya ditukar menjadi Mak Bawang Merah dan Mak Bawang Putih. Masa terus berlalu. Kini umur kedua-dua anaknya telah mencapai dua belas tahun. Rupa kedua-dua gadis itu sangatlah cantik. Memang sukar anak-anak gadis di kampung itu hendak mengatasi kecantikkan Bawang Merah dan Bawang Putih. Tetapi kalau ditanya kepada Mak Bawang Putih siapakah yang lebih cantik, tentu Mak Bawang Putih akan menjawab Bawang Putih yang cantik. Jika ditanya kepada Mak Bawang Merah, Mak Bawang Merah akan menjawab yang kedua-duanya sederhana tidak ada siapa yang lebih cantik.

Tentang perangai pula, didapati Bawang Putih lebih nakal dan jahat. Disuruhnya Bawang Merah memasak nasi dan membuat kerja itu dan ini. Kalau di hadapan Pak Ali, Bawang Putih pandai pula bermuka-muka membuat kerja.


Pada suatu hari Pak Ali pergi mengail ikan dengan Bawang Merah. Hari itu nasib Pak Ali kurang baik kerana entah bagaimana Pak Ali disengat oleh seekor ikan sembilang yang baru sahaja mengena kailnya. Pak Ali memanggil anaknya Bawang Merah membantunya kerana tidak tahan menanggung kesakitan akibat disengat oleh ikan itu. Dengan perasaan yang cemas, Bawang Merah memapah bapanya pulang ke rumah.


Apabila sampai di rumah, kedua-dua isterinya terperanjat melihatkan Pak

Ali pulang dalam kesakitan. Mak Bawang Merah pergi menjemput Pawang Jidun iaitu seorang pawang yang terkenal di kampung itu. Pawang Jidun pun mengubat Pak Ali secara perubatan tradisional. Oleh kerana ajalnya telah sampai, perubatan Pawang Jidun tidak memberi apa-apa kesan. Pak Ali pun meninggal dunia. Pemergian Pak Ali yang kekal abadi itu ditangisi oleh keluarganya.


Semenjak Pak Ali meninggal dunia, perselisihan dan pergaduhan diantara Mak Bawang Merah dan Mak Bawang Putih selalu sahaja terjadi. Sebab utama tentulah hal anak-anak kerana mereka tinggal serumah jadi selalu sajalah mereka bertengkar.


Mak Bawang Putih sangat benci kepada Mak Bawang Merah. Dia sentiasa sahaja mencari peluang untuk menghapuskan Mak Bawang Merah. Pada suatu hari, peluang yang ditunggu-tunggu selama ini terbuka. Apalagi hanya mereka berdua sahaja yang berada ditempat itu. Kebetulan Mak Bawang Merah sedang menceduk air di perigi lama. Mak Bawang Putih datang dari arah belakang dan terus menolak Mak Bawang Merah ke dalam perigi. Oleh kerana perigi itu dalam, dia terus tenggelam dan lemas. Perigi itu jarang digunakan. Selalunya mereka menggunakan perigi di hadapan rumah mereka.


"Mampuslah engkau!” jerit Mak Bawang Putih dengan geramnya.


Tiga jam berlalu tetapi Bawang Merah masih belum tahu kemana emaknya pergi. Sedang dia termenung dan bersedih hati memikirkan ibunya, tiba-tiba Mak Bawang Putih datang dari arah belakang dan memukulnya lalu Bawang Merah pun jatuh pengsan di situ juga dengan berlumuran darah keluar dari hidung dan mulutnya. Mak Bawang Putih yang tidak menaruh belas kasihan apabila melihat Bawang Merah pengsan itu, terus mengajak anaknya bersama-sama pergi ke rumah saudaranya.


Tidak berapa lama selepas itu, Bawang Merah tersedar dari pengsan. Dia menangis tersedu-sedu sambil memangggil-manggil nama emaknya. Puas dipanggil dan dicari namun tidak ada. Dia juga hairan kerana Mak Bawang Putih dan Bawang Putih juga tidak ada di rumah. Hari sudah malam tidak ada sesiapa yang pulang. Bawang Merah merasa cemas tinggal keseorangan diri di rumah yang di kelilingi hutan tebal itu. Pintu rumah dikunci rapat-rapat. Setelah jauh malam akhirnya dia pun tertidur.

Dalam tidurnya dia bermimpi ibunya datang kepadanya dengan memakai telekung putih. “Anakku bawang Merah! Mak telah mati ditolak ke dalam perigi lama oleh Mak Bawang Putih semasa mak menceduk air. Mak tidak sangka dia tergamak melakukan perbuatan itu terhadap Mak. Ingatlah anakku, kau jagalah diri mu dari telatah Mak Bawang Putih yang ganas itu. Sekarang Mak hendak pergi dahulu. Kau tinggallah baik-baik.”


Sebaik sahaja emaknya meminta diri, Bawang Merah pun terjaga dari tidurnya. Dia memandang sekeliling mencari-cari emaknya. Mulutnya memanggil-manggil “Mak…….Mak.”


Namun tidak ada jawapan, barulah dia sedar rupanya dia bermimpi, dia menangis sekuat-kuat hatinya kerana dia pecaya segala kata-kata dalam mimipinya tadi dan tambahan pula dengan sikap Mak Bawang Putiah yang memukulnya dan meninggalkannya itu.


Esoknya, pagi-pagi lagi dia pergi ke perigi tersebut. Tanpa disedari air matanya membasahi kedua belah pipinya sambil mulutnya bersuara. “Mak……..Mak.”

Sedang Bawang Merah bersedih memerhati ke dalam perigi itu, dengan kehendak Allah tiba-tiba timbullah seekor ikan kaloi. Ikan itu boleh berkata-kata:“Wahai anakku Bawang Merah. Akulah mak engkau. Mak telah mati ditolak ke dalam perigi ini oleh Mak Bawang Putih. Engkau datanglah bermain dengan mak pada tiap-tiap hari. Bawalah makanan untuk mak sekepal nasi melukut dan sayur keladi.” Kemudian ikan itu tidak dapat berkata lagi untuk selama-lamanya.


Setelah itu Bawang Merah pun pulang ke rumah. Bila sampai di rumah didapati Mak Bawang Putih dan Bawang Putih sudah menunggu dengan muka bengis.


“Ke mana engkau pergi?”


Mak cik, saya sedang mencari mak saya,” jawab Bawang Merah.


“Mak engkau sebenarnya telah mati kerana jatuh ke dalam perigi. Aku telah berusaha hendak menolongnya tetapi tidak terdaya,” jawab Mak Bawang Putih berbohong.


Bawang Merah tidak berkata apa-apa. Dia tidak percaya dengan kata-kata Mak Bawang Putih. Dia yakin dengan mimpinya malam tadi dan percakapan ikan kaloi di perigi sebentar tadi.


“Lekas pergi ke dapur dan masak untuk kami. Ingat! Mulai hari ini kami berdua menjadi raja dalam rumah ini, kami tidak mahu membuat apa-apa kerja. Segala kerja seperti memasak, mencuci kain dan mengemas rumah adalah tugas engkau!” beritahu Mak Bawang Putih dengan sombong.


Bawang Merah terpaksa menurut sahaja perintah itu. Tiap-tiap hari tidak ada peluang langsung dia hendak berehat, asyik dengan membuat kerja sahaja.


Bagaimanapun pagi-pagi lagi sebelum Mak Bawang Putih dan Bawang Putih bangun dari tidur, dia sudah pergi ke perigi. Lalu dia bergurindam memanggil ibunya:


“Mak….Mak…..Ikan kaloi,


Timbullah Bawang Merah datang,


Nasi melukut sayur keladi,


Untuk mak makan di pagi hari.”


Sebaik sahaja Bawang Merah bergurindam, ikan kaloi itu pun timbul lalu Bawang Merah pun memberi makan. Setelah selesai Bawang Merah pun pulang.


Pada mulanya perkara itu tidak diketahui oleh sesiapa. Dua minggu selepas itu, rahsia itu pecah juga. Pagi itu Bawang Putih bangun dari tidur terlebih awal kerana hendak membuang air kecil. Selepas buang air, dia terdengar suara orang bergurindam. Perlahan-lahan dia mengintai di sebalik semak.

“Oh, di sini rupanya si Bawang Merah datang hari-hari. Akan aku perhatikan apa yang dibuatnya disini.” bisik Bawang Putih.


Dia dapat melihat dan mendengar segala-galanya yang berlaku. Lantas dia cepat-cepat pulang dan mengadu kepada emaknya.


“Oh begitukah? Nanti aku akan tangkap ikan itu!” kata mak Bawang Merah. Segala rangkap gurindam itu dihafal oleh Mak Bawang Putih. Pada waktu tengah hari ketika Bawang Merah sedang bekerja di rumah, Mak Bawang Putih pergi ke perigi itu dan membawa sekepal nasi melukut dan sayur keladi. Mak Bawang Putih pun bergurindam:


"Mak….Mak…..Ikan kaloi,

Timbullah Bawang Merah datang,

Nasi melukut sayur keladi,

Untuk mak makan di pagi hari.”


Ikan itu tidak timbul. Mak Bawang Putih bergurindam lagi. Tidak timbul juga. Kemudian Bawang Putih pula yang bergurindam. Tidak juga timbul. Bawang Putih bergurindam lagi. Barulah ikan itu timbul. Sebaik sahaja ikan itu timbul, ikan itu pun disauk dengan penyauk. Secara diam-diam mereka membawa balik ikan itu.


“Bawang Merah, tengah hari ini biarlah Mak Cik masak. engkau pergi cari kayu api,” katanya kepada Bawang Merah.


“Baiklah Mak Cik.”


Sepeninggalan Bawang Merah, Mak Bawang Putih pun menggulai ikan itu. Bila Bawang Merah pulang dari mencari kayu api, dia terus dipelawa makan nasi berlaukkan ikan gulai tadi. Berselera sekali nampaknya dia memakan ikan itu.

Keesokkan paginya seperti biasa Bawang Merah pergi ke perigi untuk memberi iakn kaloi itu makan. Dia bergurindam. Tapi berkali-kali dia mengalunkan gurindam ikan kaloi itu tidak timbul-timbul. Dia pun menangis teresak-esak kerana ikan kaloi tidak lagi timbul. Sedang dia menangis tiba-tiba terdengar satu suara ghaib …


“Tidak usahlah engkau menangis Bawang Merah. Ikan kaloi sudah ditangkap oleh Mak Bawang Putih dan sudah dibuat gulai yang engkau makan semalam. Dan sekarang engkau carilah tulang-tulangnya dan tanamlah.” kemudian suara itu pun hilang.


Sebaik saja suara itu ghaib, Mak Bawang Putih datang dari arah belakang dan memukulnya dengan kayu.


“Anak sial! Apa yang engkau buat di tepi perigi ini? Oh, engkau hendak berjumpa mak engkau ikan kaloi itu ya! Semalam yang engkau makan itulah ikan kaloi mak engkau! Lekas balik ke rumah dan masak nasi” herdik Mak Bawang Putih.

Setelah selesai memasak nasi, dengan senyap dia turun ke bawah rumah untuk mencari tulang-tulang ikan itu. Puas dia mencari, barulah berjumpa tulang-tulang itu dihimpun dan ditanam di atas bukit jauh sedikit dari rumahnya. Atas kehendak Allah Taala, dalam masa sebulan sahaja tukang-tulang ikan itu menjadi sepohon pohon beringin yang rendang. Dia menggantungkan buaian di dahan pohon itu. Ketika ada masa lapang, dengan diam-diam dia bermain buaian disitu. Sambil berbuai dia akan menyanyi:

Tinggi-tinggi pohon beringin

Kalau tinggi menyapu awan

Kalau rendah menyapu bumi

Laju-laju buai laju

Bertiuiplah angin bayu-bayu

Tolonglah aku yatim piatu


Dengan berbuat demikian dapatlah juga meghiburkan hatinya yang sedang gelisah. Pada ketika itu ada seorang raja sedang berburu. Baginda diiringi oleh beberapa orang hulubalangnya. Sudah dua hari dua malam baginda berburu tetapi tidak mendapat seekor binatang buruan pun. Namun begitu baginda tetap sukacita. Perangainya berbeza dari biasa. Biasanya kalau dalam keadaan begitu baginda sangat murka dan terus mengajak pengiring-pengiringnya pulang sahaja. Perubahan perangai baginda itu sangat luar biasa.


Pada pagi yang ketiga mereka berburu lagi. Tiba-tiba melintas di hadapan baginda seekor rusa. Dengan pantas baginda memanah tetapi tidak kena. Biasanya kalau seperti itu, rusa itu sudah tentu terkena anak panah baginda.


Baginda memerintah hulubalang-hulubalangnya mengejar rusa itu sambil mencari binatang buruan yang lain. Namun segala-galanya hampa. Sedang mereka berjalan-jalan, salah seorang hulubalang mendengar suara seorang perempuan menyanyi.

Datuk Menteri, cuba dengar suara perempuan sedang menyanyi!” kata hulubalang kepada Datuk Menteri.


“Mengarut engkau ini. Dalam hutan begini mana ada perempuan menyanyi!” jawab Datuk Menteri.


“Cuba Datuk dengar sendiri.”


“Jangan-jangan suara hantu!” kata Datuk Menteri.


Mereka bersepakat hendak menghampiri ke tempat suara itu, akhirnya mereka dapat melihat penyanyi itu ialah Bawang Merah. Kerana wajah Bawang Merah yang sangat cantik mereka berpakat hendak mempersembahkan pertemuan itu kepada tuanku kerana tuanku raja masih belum beristeri.


Bawang Merah terasa dirinya sedang diintai. Dia pun cepat-cepat lari pulang. Dua orang hulubalang tadi mengekori Bawang Merah secara sulit untuk mengetahui rumahnya.


Kemudian mereka pun persembahkan perkara itu kepada baginda. Baginda sangat senang hati mendengar cerita itu. Mereka pun beramai-ramai pergi ke rumah Bawang Merah.

“Assaalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”jawab Mak Bawang Putih.

“Tuan hamba, sebentar tadi kami melihat ada seorang gadis cantik sedang bermain buaian di bukit sana.” Kata Datuk Menteri.

“Gadis cantik? Oh..memang ada dia anak patik,” jawab Mak Bawang Putih.

Maka mak Bawang Putih pun memanggil Bawang Putih keluar untuk mengadap Datuk Menteri.

“Bukan ini. Yang lain. Dia lebih cantik!” jawab Datuk Menteri.

“ Yang seorang lagi ada tapi dia orang gaji patik” jawab Mak Bawang Putih.

Bila mak Bawang Putih menarik Bawang Merah mengadap Datuk Menteri tiba-tiba Datuk Menteri menjerit.

“Haa inilah orangnya! Dialah yang berbuai dan menyanyi dengan merdunya!”

“Menyanyi?” fikir Mak Bawang Putih.

“Tuanku, kalau dalam soal menyanyi anak patik Bawang Putih lagi pandai.”


Untuk itu baginda sultan hendak membuat ujian di hadapan orang ramai. Mula-mula Bawang Putih dahulu yang menyanyi. Bawang Putih belum pernah menyanyi dan menaiki buaian lalu merasa kekok sekali. Hendak naik ke atas buaian pun teragak-agak. Kemudian dia pun menyanyi. Suaranya sumbang dan tidak ada irama langsung. Senikatanya pun tidak ada erti langsung.


Tiba pula giliran Bawang Merah. Secara senang sahaja dia menaiki buaian. Buaian itu tidak perlu dihayun. Ia berbuai sendiri semakin lama semakin laju. Nyanyiannya pula sangat merdu. Sama seperti yang di dengar oleh Datuk Menteri dan hulubalang-hulubalang. Dengan itu baginda sultan pun bersetuju menjadikan Bawang Merah permaisuri baginda.

“Apakah ini orang gaji Mak Cik?” tanya baginda.

“Ampun tuanku, sebenarnya dia ini anak tiri patik. Walaupun anak tiri, patik menjaga seperti anak sendiri”.


Akhirnya berkahwinlah Bawang Merah dengan tuanku. Dia pun menjadi isteri kesayangan baginda dan telah berpindah di istana baginda. Walaupun begitu Bawang Merah tetap tidak menyisihkan Mak Bawang Putih dan Bawang Putih. Mereka tetap diajak tinggal bersama di istana.


Walaupun dapat tinggal di istana dengan segala kemudahan disediakan, namun iri hati dan jahatnya masih membara. Mak Bawang Putih ingin melihat Bawang Merah bercerai dengan baginda sultan dan mengambil anaknya Bawang Putih sebagai ganti.

BERSAMBUNG DILAIN MASA.

13 comments:

Mohd Faizol Haini said...

terima kasih sebab post cerita ni. Byk membantu dlm my research. nwy, bawang putih ke bawang merah yg jahat sebenarnye ek?

Anonymous said...

tq...aku bleh buat nilam aq secara percuma...x yah susah2 nak beli buku...khe khe...

Anonymous said...

hai aq ira thanx alot coz sediakan citer nie bezzz... giler thanx . chaiyok!! chaiyok!!

Anonymous said...

Buleh juga citernya, bisa dibacain buat adiku masa kan tidor

Anonymous said...

bla plak akn ada smbungannya? xsbar nk bca..

Anonymous said...

Bawang merah jahat

Anonymous said...

Bawang Merah baik kerana dia kuat menangis sebab kalau Kita potong bawang Merah mata akan berair. Panggilan itu asalnya untuk budak yang selalu menangis. Tetapi sekarang nama telah bertukar, mungkin kerana warna putih sering dikaitkan dengan kebaikan dan Merah dengan kejahatan.

Unknown said...

seingat saya, berdasarkan buku2 cerita yg saya masa kecil2 dulu, mmg Bawang Putih yg jahat, Bawang Merah baik. Tapi since cerita animasi Putih (lakonan suara Erra Fazira M Nasir n Raja Azura) tu, tiba2 bertukar Bawang Putih baik pula, bersambung terus dgn sinetron Bawang Merah Bawang Putih (Siska Alya) dan slot lagenda Bawang Merah Bawang Putih (Ellyas Abdullah n Zahiril Adzim).

Unknown said...

cerita ini sangat menarik dan banyak pengajaran. terima kasih kerana berkongsi cerita ini.

Unknown said...

cerita ini sangat menarik dan mendapat pengajaran.terima kasih kerana berkongsi cerita ini.

Unknown said...

saya suka cerita ini kerana memberi pengajaran kepada saya...saya teringin menceritakan kisah ini kepada kawan-kawan.

itu saja terima kasih

Unknown said...

SANGAT MENARIK PERHATIAN PARA PEMBACA


TERIMA KASIH!!!!!!!

cindy armaya said...

Numpang ya min ^^

Bonus New Member 50%!!! Bukan server IDN maupun PokerV! Cobalah bermain di server baru 1G Poker hanya di kenaripoker.com! Proses deposit dan withdraw tidak basa basi langsung tinggal proses dan main saja bosku, dicoba keberuntungan kamu sekarang juga hanya di kenaripoker.com!

WHATSAPP : +855966139323
BBM : KENARI00
LIVE CHAT : KENARIPOKER.COM
ALTERNATIVE LINK : KENARIPOKER.COM